Mencari sahabat sejati





Rasulullah saw pernah berpesan: "Agama seseorang itu terletak di atas agama atau jalan yang dipilih oleh rakannya". Oleh itu kita hendaklah berhati-hati dalam memilih siapa yang harus dijadikan sahabat. Apakah ciri-ciri seorang sahabat yang baik? Seorang bijak pandai berpesan kepada anak lelakinya: "Wahai anakku, sekiranya engkau berasa perlu untuk bersahabat dengan seseorang, maka hendaklah engkau memilih orang yang sifatnya seperti berikut:

# Jika engkau berbakti kepadanya, dia akan melindungi kamu;
# Jika engkau rapatkan persahabatan dengannya, dia akan membalas balik persahabatan kamu;
# Jika engkau memerlukan pertolongan daripadanya, dia akan membantu kamu;
# Jika engkau menghulurkan sesuatu kebaikan kepadanya, dia akan menerimanya dengan baik;
# Jika dia mendapat sesuatu kebajikan (bantuan) daripada kamu, dia akan menghargai atau menyebut kebaikan kamu;
# Jika dia melihat sesuatu yang tidak baik daripada kamu, dia akan menutupnya;
# Jka engkau meminta bantuan daripadanya, dia akan mengusahakannya;
# Jika engkau berdiam diri (kerana malu hendak meminta), dia akan menanyakan kesusahan kamu;
# Jika datang sesuatu bencana menimpa dirimu, dia akan meringankan kesusahan kamu;
# Jika engkau berkata kepadanya, nescaya dia akan membenarkan kamu;
# Jika engkau merancangkan sesuatu, nescaya dia akan membantu kamu; dan
# Jika kamu berdua berselisih faham, nescaya dia lebih senang mengalah untuk menjaga kepentingan persahabatan.

Sahabat Rasulullah, Saidina Ali ada berkata: "Saudaramu yang sebenar ialah orang yang sentiasa berada di samping kamu. Dia sanggup membahayakan dirinya demi kemaslahatan kamu. Orang yang setiap masa bekerja untuk keperluan kamu. Sanggup mengorbankan segala-galanya untuk kepentingan kamu. "

Ada juga yang berpesan: "Sesiapa yang suka berkawan, tetapi tidak suka melebihkan kawan daripada diri sendiri, maka lebih baik dia berkawan dengan ahli kubur!". Begitu sekali pesanan dalam memilih kawan. Marilah bersama-sama kita periksa diri masing-masing sama ada layak menjadi sahabat sejati atau hanya layak menjadi kawan kepada ahli kubur.
0 Responses